Wednesday, May 13, 2009

Ayuh! Pupuk Cinta pada Akhirat.

Ayuh! Pupuk Cinta pada Akhirat.

 

Manusia adalah makhluk paling sempurna ciptaan Allah. Berbanding makhluk-makhluk lain ciptaan Allah, manusia dikurniakan akal fikiran dan kurniaan ini menjadikan manusia lebih istimewa. Akal menjadikan manusia boleh berfikir baik dan buruk. Manusia diberikan kebebasan memilih apa sahaja yang mereka inginkan sama ada ia baik ataupun tidak. Walaupun begitu, manusia akan dipertanggungjawabkan dengan pilihan mereka sepenuhnya. Jika manusia memilih kebaikan sepertimana yang diperintahkan Allah, ganjaran syurga menanti di akhirat kelak. Sebaliknya jika manusia memilih untuk berbuat kejahatan, balasan buruk akan diterima di akhirat kelak.

 

Dunia yang kita diami semakin hari semakin meninggalkan kita. Akhirat pula semakin menghampiri kita. Bagi manusia yang memilih untuk mencintai dunia melebihi segala-galanya, mereka adalah hamba dunia. Ini kerana mereka sanggup mereka sanggup melakukan apa sahaja bagi memenuhi keperluan mereka di dunia tanpa memikirkan sedikitpun kehidupan mereka di ajhirat kelak. Mereka menangguh-nanggguhkan perbuatan amal kebajikan kerana sibuk dengan urusan dunia. Mereka ini tergolong dalam mereka yang rugi. Harta dunia yang mereka kumpulkan di dunia ini tidak sedikitpun berguna di akhirat kelak. Berbeza sama sekali dengan orang yang beriman, kemewahan harta dunia tidak sedikitpun mempengaruhi cinta mereka pada akhirat. Mreka akan menumpukan banyak bagi mencari bekalan akhirat.Orang beriman, jika ditakdirkan menerima nikmat yang besar, dia sudah tentu akan mengucapkan syukur di samping memantapkan keimanan kepada Allah S.W.T. di atasa kurniaannya itu.

 

Manusia mesti menggunakan segala nikmat yang dikurniakan Allah dengan sebaik-baiknya tanpa melakukan sebarang bentuk kerosakan. Pun begitu, disebabkan sifat tamak haloba manusia, mereka sanggup melakukan apa sahaja sehingga menyebabakan kerosakan di atas muka bumi ini semata-mata mahu memenuhi keinginan masing-masing yang tidak pernah terhad. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:

 

“Maka apakah sama orang yang kami janjikan kepadanya suatu janji yang baik (syurga) lalu dia memperolehinya dengan orang yang kami berikan kepadanya kesenangan hidup duniawi, kemudian pada hari kiamat dia termasuk orang-orang yang diseret (ke dalam naraka)?”

(Surah Al-Qasas : Ayat 61)

 

Segala nikmat kurniaan Allah perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Binatang, tumbuh-tumbuhan dan segala di alam ini diciptakan oleh Allah untuk memudahkan urusan manusia di atas muka bumi beribadah dalam ertikata melakukan apa sahaja aktiviti demi mendapatkan keredhaan Allah S.W.T. semata-mata. Ini semua untuk menambakan bekalan sebelum sampai waktunya kita bertemu Allah apabila tiba masanya di akhirat kelak.

 

 

Sungguh, Terlalu Besar Nikmatmu Ya Allah!

 

Alangkah besar dan banyaknya nikmat yang Allah berikan kepada kita. Allah memberikan nikmat mata dan nikmat penglihatan kepada kita. Allah memberikan nikmat telinga dan nikmat pendengaran kepada kita. Allah memberikan nikmat kaki dan nikmat bergerak kepada kita. Ada orang ada mata tapi tidak dapat melihat, buta namanya. Ada orang mempunyai telinga tetapi tidak dapat mendengar, tuli namanya. Ada orang mempunyai lidah tetapi tidak dapat berkata-kata, bisu namanya. Ada orang mempunyai kaki tetapi tidak dapat bergerak, lumpuh namanya. Begitu juga ada orang mempunyai tangan tetapi tangannya tidak dapat digunakan.

 

Allah S.W.T. memberikan nikmat-nikmat-Nya yang tidakkan terkira oleh manusia di dunia ini kepada seluruh umat manusia walaupun yang ingkar. Bagi orang-orang beriman yang melaksanakan hak-hak yang sepatutnya terhadap nikmat yang Allah kurniakan ini, Allah mengurniakan pula rahmat-Nya. Melalui rahmat Allah, Allah memasukkan hamba-hambanya yang beriman ke dalam syurga. Di akhirat kelak, ada seorang abid meminta supaya dimasukkan ke dalam syurga melalui amalannya selama beratus-ratus tahun setelah Allah memerintahkan supaya dia dimasukkan ke syurga melalui rahmat-Nya. Lantas apabila ditimbang amalnya dengan nikmat kurniaan Allah, ternyata amalnya tidak dapat menyamai walau hanya dengan sebiji mata yang dikurniakan Allah. Sungguh, rahmat kasih sayang Allahlah yang membawa hamba itu kepada kebahagiaan hakiki.

 

Maha Besar Allah, Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Setiap sedutan dan hembusan nafas kita adalah nikmat daripada-Nya. Di manakah lagi seorang hamba dapat mencari Tuan yang senantiasa memberi kurnia walaupun hambanya itu sering kali mengingkari arahan dan tidak melaksanakan perintah-perintah-Nya. Berkali-kali kita melakukan maksiat, berkali-kali juga Dia memberi peluang keampunan kepada kita. Nikmat-Nya masih terus mencurah-curah ke atas hamba-Nya walaupun dosa hamba-Nya itu bertimbun-timbun.

 

Namun, mengapakah diri ini selaku hamba-Nya yang sentiasa menghirup nikmat daripada-Nya masih terus malas dan sombong untuk mengucapkan syukur kepada Tuannya. Mengapakah hamba yang sentiasa diberikan nikmat ini masih lagi melanggar arahan-Nya. Mengapakah hamba yang hina ini masih malas untuk beramal dan berbakti kerana-Nya. Mengapakah hamba yang penuh dengan kekotoran dan dosa ini masih tidak mahu memohon keampunan-Nya. Sungguh kerasnya hati ini. Tidakkah diri ini sedar, bila-bila masa sahaja segala-galanya ini boleh hilang. Ya, mati pasti datang dan peluang memperoleh pahala dan keampunan-Nya belum tentu masih terbuka untuk esok hari. Mati yang memutuskan manusia daripada segala jenis kenikmatan dunia. Mati yang akan membawa manusia kepada kebahagiaan hakiki ataupun penyesalan hakiki. Maha Suci Tuhan yang Maha Agung. Berbahagialah orang yang memilih menyucikan kehidupannya dengan ketaatan dan ketundukan kepada Allah.